Sahabat yang dikasihi Allah, Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w , sabdanya yang bermaksud :
"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Al-Bazzar)
Berdasarkan hadis di atas terdapat lima golongan manusia yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Empat golongan akan mendapat keredhaan Allah dan golongan kelima akan mendapat kemurkaan Allah dan akan mendapat kebinasaan.
Pertama : Jadikan dirimu orang alim (berilmu)
Menjadi orang alim (berilmu) adalah amat mulia disisi Allah s.w.t. kerana dengan ilmu yang dimiliki , beramal pula dengan ilmu tersebut dan menyampaikan kepada orang lain adalah menjadi pewaris para Nabi dan Rasul. Kedudukannya disisi Allah dihari akhirat nanti adalah bersama para Nabi dan Rasul dan para syuhada'.
Orang alim yang berilmu dan menyampaikan ilmu tersebut apabila ia meninggal dunia dan berada dialam barzakh maka pahala ilmu yang bermanfaat yang diajarkan ketika di dunia pahalanya akan terus mengalir masuk ke alam barzakh. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya" (Hadith Riwayat Muslim).
Seorang yang alim akan menyampaikan ilmu yang ia miliki bukan sahaja melalui ceramah atau kuliah tetapi ianya boleh disampaikan melalui tulisan di majalah, di internet dan mengarang buku sebagai sumber ilmu untuk rujukan orang ramai.
Ilmu merupakan salah satu nilai luhur yang dibawa oleh ajaran Islam dan yang tegak di atasnya kehidupan manusia, baik secara moral maupun material, duniawi mahupun ukhrawi. Islam menjadikannya sebagai jalan menuju keimanan dan untuk di amalkan.
Nikmat ilmulah yang menyebabkan manusia diberikan amanah oleh Allah sebagai 'khalifah' di atas muka bumi ini. Sesungguhnya Islam adalah agama ilmu dan al-Quran adalah kitab ilmu. Ayat al-Quran yang pertama sekali turun kepada Rasulullah s.a.w. adalah "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu" (Surah al-'Alaq ayat 1)
Sayyidina Ali k.w. berkata : "Tiga tanda orang berilmu : Ilmu, sabar dan diam" (Ibid, Jilid:2,ms:59)
Sayyidina Ali k.w. berkata: "Tiadalah kebanggaan yang sebenar melainkan bagi orang-orang yang berilmu kerana mereka sentiasa berada di atas jalan hidayah, mereka menunjukkan jalan hidayah kepada orang-orang yang memintanya. Memadailah ukuran bagi setiap seseorang itu kebaikan yang dilakukan sedangkan orang yang jahil sentiasa memusuhi orang-orang berilmu. Maka rebutlah kesempatan menuntut ilmu supaya kita dapat hidup selamanya kerana pada hakikatnya, manusia itu semuanya mati sedangkan orang-orang yang berilmu akan terus hidup."
Membaca adalah kunci untuk memahami ilmu dan al-Quran merupakan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang berilmu." (Surah al-Fushshilat ayat 3)
Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas dan kayu ukur kemuliaan di kalangan manusia. Allah s.w.t. berfirman maksudnya :
"Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?." (Surah az-Zumar ayat 9)
Sebagaimana juga al-Quran telah menjadikan 'ahlul ilmi'(ahli ilmu) sebagai syuhada' (orang-orang yang bersaksi) terhadap keesaan Allah bersama para Malaikat.
Firman Allah s.w.t. maksudnya :
"Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, (demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali 'Imran ayat 18)
Demikian juga orang alim (berilmu) adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah s.w.t. dan bertaqwa kepadaNya. FirmanNya yang bermaksud : "Sesunggungnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)." (Surah Fathir ayat 28)
Kedua : Orang yang menuntut ilmu.
Jika kita tidak mampu menjadi orang alim maka jadilah golongan kedua iaitu menjadi orang yang menuntut ilmu. Sungguh besar pahala orang yang menuntut ilmu kerana Allah, setiap langkah yang ia lakukan untuk keluar menuntut ilmu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. semua makhluk termasuk ikan dilaut memohon keampunan kepada pencari ilmu.
Termasuk golongan orang yang menuntut ilmu apabila ia membaca buku-buku Islam, mentelaah bahan-bahan tarbiyah, membaca risalah dan nota-nota tazkirah yang terdapat di internet atau di masjid-masjid dan cuba memahami dan menghayatinya.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Mereka yang melangkah di jalan pencarian ilmu, Allah akan membawanya terus ke jalan Syurga. Sesungguhnya, para Malaikat merasa gembira menebarkan sayap mereka untuk menaungi para pencari ilmu, bahkan seluruh makhluk termasuk ikan di laut memohon keampunan buat para pencari ilmu. Kedudukan orang yang alim ke atas orang yang 'abid(ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas bintang-bintang pada malam bulan purnama. Para ulama' adalah pewaris para Anbiya' kerana para Anbiya tidak meninggalkan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan. Maka beruntunglah mereka yang menelusuri di jalan ini."
Sayyidina Ali k.w berkata : "Janganlah mencari ilmu kerana 4 sebab berikut:
1. Untuk membangga diri di hadapan orang yang alim,
2. Untuk berdebat dengan orang yang jahil,
3. Untuk mempamerkan diri kepada manusia,
4. Untuk menarik perhatian manusia demi menjamin kedudukan."
Ketiga : Orang yang selalu mendengar pelajaran agama.
Menjadi golongan ketiga iaitu selalu dan suka mendengar ceramah dimasjid atau internet (you tube), mengikuti kursus motivasi, mendengar kuliah agama di kaset , radio atau TV adalah masih termasuk golongan yang diredhai Allah. Semoga dengan minat mendengar ini akan mendapat pahala dan akan menjadikan hatinya cinta pada ilmu dan berusaha untuk di amalkan pula.
Nabi s.a.w. pernah ditanya: "Apakah ilmu?," baginda s.a.w. menjawab, "Diam," baginda s.a.w. ditanya lagi, "Kemudian?," baginda s.a.w. menjawab, "Mendengar dengan penuh perhatian," baginda s.a.w. ditanya lagi, "Lalu?," baginda s.a.w. menjawab, "Mengamalkan apa yang dipelajari," baginda s.a.w.ditanya lagi, "Setelah itu?," baginda (saw) menjawab, "Menyebarkannya."
Orang yang mendengar bacaan Al-Quran dan berkunjung di tempat-tempat pengajian (majlis ilmu) untuk mendengar bahan-bahan tarbiyah yang disampaikan oleh ulama' atau orang alim akan dilapangkan dadanya dan ditenteramkan hatinya daripada masalah-masalah dunia, Allah akan sentiasa bersamanya dan orang tersebut akan lebih khusyuk beribadah kepada Allah dan ia akan dapat mendidik nafsunya kejalan kebaikan yang diredhai Allah.
Keempat : Mencintai tiga golongan iaitu orang alim, orang yang menuntut ilmu dan orang yang mendengar ilmu AGAMA
Mencintai dan memberi sokongan moral dan material kepada tiga golongan tersebut di atas juga akan mendapat pahala seperti mana mereka yang melakukannya. Orang yang mencintai orang alim, orang yang menuntut ilmu dan orang yang mendengar ilmu yang di ajarkan adalah orang yang mulia hatinya dan niatnya baik kerana Allah. Mungkin dia tak berkesempatan untuk menjadi golongan pertama, kedua dan ketiga kerana kesibukan tugas tetapi hatinya tetap bersama mereka.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan." (Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)