Pages

Wednesday 13 March 2013

Bachok bakal jadi Hab Pendidikan Kecemerlangan Ilmu,



BACHOK 10 Mac – Timbalan Menteri Kewangan, YBhg. Senator Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin,
komited untuk menjadikan Bachok sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu yang akan memacu
dan merancakkan lagi pembangunan untuk memberi faedah serta manfaat kepada masyarakat
setempat.
Beliau berkata, sejajar dengan itu penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) adalah salah satu
daripada usaha serius kerajaan untuk melihat Bachok terus berkembang sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan pengajian tinggi di negeri ini.
Katanya, selain itu, rancangan pembinaan cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus
Bachok, dalam tempoh terdekat terus membuktikan bahawa kerajaan komited ke arah mencapai
hasrat tersebut.
“Sebagai pemimpin Bachok, saya merasakan UMK ini juga menjadi sebahagian milik masyarakat
Bachok. Oleh demikian, hubungan UMK dengan masyarakat Bachok bukan sahaja perlu dipupuk
tetapi menjadi tanggungjawab bersama untuk membina kejaya demi kejayaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Malam Mesra UMK anjuran Program
Pembangunan Ekonomi Komuniti Bachok (PROSPEK), Universiti Malaysia Kelantan, bertempat di
UMK Kampus Bachok, pada 10 Mac 2013.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Y.Bhg. Dato` Seri Setia Raja Dato' Haji Aiseri bin
Alias, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Hj. Che Rose, Timbalan Naib Canselor
(Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Prof. Dr. Roselina binti Ahmad Saufi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Madya Abdul Aziz bin Abd. Latif dan Pendaftar UMK,
YBhg. Prof. Dr. Razli bin Che Razak.
Menurut Dato’ Dr. Awang Adek, pembangunan UMK perlu seiring dengan pembangunan masyarakat
setempat demi manfaat yang lebih besar.
"Saya akan terus komited membangunkan komuniti setempat di sekitar kawasan Parlimen Bachok
menerusi pelbagai aktiviti pembangunan yang akan membawa perubahan di Bachok seterusnya akan
menyumbang kepada pendidikan khususnya di peringkat pengajian tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Dr. Awang Adek mengucapkan tahniah diatas
komitmen dan kesungguhan Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr.
Raduan yang agresif dan berfikiran ke hadapan menjadikan kampus
ini lebih ceria, indah dan berkualiti disamping mengubah
pembangunan kawasan di daerah Bachok.
“Saya lihat banyak perubahan terutamanya dengan ada ladang rusa,
Ostrich dan banyak pokok telah ditanam dapat mengubah keadaan
kampus dengan lebih baik yang sebelum ini kering-kontang ibarat
seperti padang pasir,”ujarnya
Sementara itu, menurut Ketua Unit Jaringan Industri dan Komuniti,
Pejabat Penolong Naib Canselor UMK, En. Zuraimi bin Abdul Aziz,
pelaksanaan PROSPEK yang dinaungi oleh Timbalan Menteri
Kewangan, YB. Senator Dato Dr. Awang Adek bin Hussin, adalah
bertujuan untuk memantapkan lagi hubungan kerjasama Universiti dengan pihak komuniti.
Beliau berkata, program ini bukan sahaja bukan sahaja memberi faedah kepada penduduk di daerah
Bachok malah ia akan memberi impak yang positif kepada imej UMK sebagai sebuah universiti awam
di negeri Kelantan.
Jelas beliau, menerusi PROSPEK pelbagai program yang dilaksanakan akan memberi impak besar
kepada pembangunan aspek ekonomi dan sosial penduduk di sekitar Bachok selari dengan hasrat
UMK untuk menjadi agen perubahan dengan
memainkan peranan untuk membentuk
masyarakat ke arah bercirikan keusahawanan.
“Menerusi pelaksanaan ini juga mampu
melonjak nama UMK di negeri Kelantan
khususnya dan Malaysia amnya selari dengan
Teras Strategik Pembangunan UMK yang kelima iaitu menyumbang kepada kesejahteraan
masyarakat dan industri,” katanya.
Pada Program Malam Mesra UMK itu turut
diadakan solat hajat dan kutipan derma
tabung bantuan kebajikan untuk anggota keselamatan yang mempertahankan negara daripada
ancaman pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.