Pages

Wednesday, 13 March 2013


Kota Baharu KELANTAN  -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V meminta warga dan graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memfokuskan kepada pembangunan modal insan yang berdaya maju, pemantapan penyelidikan dan penyebaran khidmat profesional yang berkesan serta membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.
Baginda yang juga Canselor universiti itu mahukan kesemua perkara itu dilaksanakan secara profesional demi kepentingan nasional dan  tidak bersifat individu atau dipolitikkan.
"Tanggungjawab universiti bukan sahaja untuk menghasilkan graduan yang serba boleh tetapi negarawan ulung yang dihormati bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat global," titah baginda pada majlis Konvokesyen Ke-2 UMK di sini hari ini.
Baginda berharap UMK menjadi peneraju ilmu yang relevan, unik dan berbeza berlandaskan ilmu keusahawanan sebagai tunggak utama dalam mendidik dan melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan versatil.
Kepada para ilmuan, baginda mengingatkan mereka supaya menanamkan perasaan untuk memberikan dedikasi yang tinggi dan sepenuhnya  dalam mendidik pelajar dengan mempertingkatkan kredibiliti dengan mendalami ilmu pengetahuan semasa di peringkat dalaman dan global.